Polis menahan sepasang suami isteri yang dipercayai aktif melakukan kegiatan mencuri di surau dua buah kompleks beli-belah di sini, pada Rabu lepas.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Abdul Aziz Salleh berkata pasangan berusia 32 dan 31 tahun yang mempunyai dua anak itu, dipercayai terlibat dengan jenayah itu sejak enam bulan lepas, ditahan di rumah mereka di Taman Tas di sini.
“Hasil pemeriksaan di rumah tersebut polis menemui dua telefon bimbit, satu unit tablet dan iPad, manakala di dalam kereta pasangan itu pula kita menemui sebuah beg tangan wanita kesemuanya dipercayai barangan curi.
“Polis turut merampas sebanyak 19 telefon bimbit daripada sebuah kedai telefon bimbit di Kuantan (dipercayai dijual oleh suspek kepada pemilik kedai dengan harga RM200 seunit),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, hari ini.
Beliau berkata modus operandi pasangan itu adalah mencuri barangan ketika jemaah sedang menunaikan solat dan si isteri akan melakukan tugasan tersebut manakala suaminya menunggu di dalam kereta.
Katanya keseluruhan barangan yang dirampas dianggar bernilai kira-kira RM25,000 dan menurutnya kedua-dua suspek ditahan reman sejak Khamis lepas untuk siasatan. — Bernama