Terima kasih polis kerana cepat bertindak… sejak malam Khamis bukan main laju lagi orang ramai kongsi video memperlihatkan bagaimana dua individu bertindak kurang ajar terhadap penguat kuasa wanita Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang menjalankan tugas.
Banyak komen suruh polis bertindak cepat kerana geram dengan tindakan mereka.
Pagi Jumaat Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Dr Abdul Aziz Awang Darus berkata dua suspek yang mengasari penguatkuasa wanita itu sudah ditahan dan akan dituduh di Mahkamah Shah Alam, pagi ini.
Menurutnya kedua-dua suspek berusia 30 tahun itu ditangkap tidak lama selepas menerima laporan kejadian itu daripada mangsa.
“Suspek sudah ditangkap mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam ketika menjalankan tugas.
“Kedua-duanya akan dituduh di Mahkamah Shah Alam hari ini,”.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.24 pagi itu, mangsa bersama seorang rakan setugas sedang menjalankan tugas di kawasan BRP 6/11 Bukit Rahman Putra dan mengeluarkan saman ke atas sebuah kereta yang tidak mempunyai kupon bayaran letak kereta.
Seorang wanita dipercayai pemilik kereta terbabit kemudian datang ke arahnya dan dengan nada kasar mendakwa kononnya dia sudah membeli kupon.
Mangsa memaklumkan dia tidak boleh membatalkan saman yang sudah dikeluarkan menyebabkan suspek tidak berpuashati dan memanggil seorang rakan lelakinya.
Lelaki itu kemudian dikatakan menengking mangsa, selain mengugut mahu mencederakan mangsa dan cuba menggigit jarinya, menyebabkan mangsa mengambil keputusan beredar, namun terus dihalang lelaki berkenaan.
Suspek wanita pula terus menarik belakang baju mangsa kononnya mahu mengambil gambar dan nama mangsa dan namun pada masa sama, dia hendak terjatuh menyebabkan telefon bimbit suspek jatuh ke dalam longkang.
Mangsa cuba beredar tetapi suspek wanita terus menarik belakang bajunya dan suspek lelaki pula menggunakan tubuhnya menghimpit mangsa, selain cuba mengambil gambar mangsa menggunakan telefon bimbitnya.
Satu rakaman video berhubung kejadian itu dikesan mula tersebar di media sosial sejak petang semalam dan video berdurasi kira-kira dua minit 10 saat itu jelas mengudang kemarahan orang ramai tentang kebiadapan suspek.
Susulan kejadian itu, mangsa yang berusia 24 tahun membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Buloh, sejurus selepas kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun Twitternya, turut berkongsi maklumat mengenai tangkapan suspek dengan menulis ‘@PDRMsia sahkan, pasangan ini telah ditangkap semalam dan akan dituduh pagi ini kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam Seksyen 353 KK (Kanun Keseksaan)’.