SEREMBAN, 5 Feb — Sebuah masjid di sini dikhuatiri dijadikan tempat khurafat apabila ada pengunjung mencampakkan duit syiling dalam perigi sedalam tiga meter kononnya bagi membayar nazar.
Kariah Masjid Jamek Datuk Bandar Haji Ahmad di Rasah, Hairi Jamaluddin, berkata ia disebabkan perigi itu dikatakan tidak pernah kering sejak dibina pada tahun 1875 dan sentiasa mendapat perhatian orang ramai termasuk penduduk luar.
“Sebahagian besar pengunjung percaya air perigi ini mempunyai pelbagai kelebihan dan khasiat termasuk menyembuhkan penyakit namun saya tidak mengetahui sejauh mana dakwaan berkenaan sama ada ia benar atau sebaliknya.
“Ramai yang datang ke sini untuk mengambil air perigi kononnya bagi dijadikan ubat menyembuhkan penyakit termasuk penyakit buatan orang. Selepas mengambil air perigi, individu terbabit membuang syiling sebagai nazar,” katanya dilapor Harian Metro.
Hairi berkata, ahli jawatankuasa masjid sudah mengutip syiling berkenaan dan memasukkannya dalam tabung masjid tetapi perigi itu dipenuhi kembali dengan syiling selang beberapa minggu kemudian.
“Sukar untuk kita mengenal pasti siapa yang melakukannya kerana masjid ini dibuka 24 jam bagi memberi ruang kepada umat Islam untuk beribadat.
“Kami cukup bimbang kerana perkara ini boleh menjejaskan akidah pelakunya,” katanya.
Katanya, pengurusan masjid mengambil keputusan membina dinding tembok lebih tinggi sebagai pagar perigi bagi mengelakkan perkara sama terus berulang.
“Tembok serta dinding dibina bagi keselesaan jemaah selain bagi memastikan air perigi tidak melimpah,” katanya.