SHAH ALAM: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menafikan telah mengeluarkan sebuah poster amaran berhubung tindakan menghina pemimpin negara, dengan imej yang memalukan mana-mana pemimpin.
Pengarah Komunikasi Strategik SKMM, Sheikh Raffie Abd Rahman berkata, ia dilakukan oleh pihak yang sarkastik dengan menggunakan nama SKMM, sehingga ia disangka benar-benar datang dari suruhanjaya itu.
“Ini bukan dari SKMM. Seseorang cuba jadi sarkastik. SKMM tidak akan keluarkan nasihat-nasihat sedemikian,” kata Sheikh Raffie dipetik Malaysiakini.
Justeru katanya, SKMM akan menjalankan siasatan berhubung penerbitan notis amaran palsu itu.
Notis palsu itu telah tersebar sejak Sabtu, menunjukkan gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah disunting dengan muka badut, beserta amaran berhubung tindakan menghina pemimpin negara.
Notis amaran itu menyebut:
“Orang ramai diberi amaran supaya berhenti menyebarkan gambar-gambar pemimpin negara yang telah diubahsuai menyerupai badut seperti dalam gambar di atas menerusi laman sosial termasuk aplikasi ‘Whatsapp’.
“Adalah menjadi satu kesalahan bila berkongsi atau menyebarkan kandungan sedemikian kerana ia melanggar undang-undang negara khususnya Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Jika didapati bersalah, hukumannya adalah denda tidak melebihi RM50,000 dan/atau tidak lebih satu tahun penjara.”
Ia mula tersebar selepas dimuat naik oleh aktivis Fahmi Reza di Facebook dan akaun Twitternya.