KUALA LUMPUR 9 Feb. – Keselamatan dan kepentingan negara boleh tergugat sekiranya perbuatan membocorkan rahsia rasmi kerajaan dibiarkan berleluasa tanpa dibendung.
Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab itu boleh dibanteras melalui hukuman lebih berat seperti yang bakal diperkenalkan dalam pindaan Akta Rahsia Rasmi 1972.
Menurut beliau, kebocoran rahsia kerajaan perlu dikekang agar keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini dapat dipertahankan.
“Apatah lagi, sejak akhir-akhir ini terlalu banyak berlaku pembocoran rahsia rasmi negara yang hampir semuanya boleh mendatangkan ketidakstabilan kepada situasi politik, ekonomi dan sosial negara.
“Maka, amat bertepatan cadangan hukuman lebih berat ini dikenakan ke atas pembocornya bagi mengelakkan negara daripada berdepan situasi huru-hara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali melalui wawancara eksklusif yang disiarkan Sin Chew Daily kelmarin menyatakan, pihaknya sedang mengkaji cadangan meminda Akta Rahsia Rasmi agar hukuman lebih berat boleh dikenakan terhadap mana-mana individu yang membocorkan rahsia negara.
Melalui pindaan itu, individu yang didapati bersalah membocorkan rahsia rasmi kerajaan boleh dihukum penjara seumur hidup dan 10 sebatan.
Irmohizam menambah, kesan negatif kebocoran rahsia rasmi kerajaan boleh dilihat apabila pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan surat berhubung kedudukan kewangan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) daripada Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz baru-baru ini.
Beliau memberitahu, perbuatan tersebut telah menimbulkan suasana panik dalam kalangan umat Islam yang menyimpan wang di Tabung Haji.
“Nasihat dalaman paras rizab Tabung Haji telah diuar-uarkan sebegitu rupa sehingga mendorong ramai pencarum percaya bahawa mereka tidak mendapat dividen dan bonus tahun ini,” jelasnya.