SLIM RIVER: Mahkamah Majistret memutuskan untuk melanjutkan tahanan reman tujuh hari lagi terhadap seorang pemandu lori yang dipercayai telibat dalam kes bunuh seorang lelaki yang dijumpai tidak berkepala di Jalan Kampung Batu 4, Slim River.
Keputusan itu dibuat Majistret Syahdatul Kamilah Zakaria yang turut memerintahkan agar tahanan reman tertuduh yang berusia 35 tahun itu bermula hari ini sehingga 26 Nov depan bagi membantu siasatan.
Terdahulu mahkamah turut memerintahkan suspek ditahan reman selama seminggu yang berakhir hari ini.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Mayat K. Ganesan, 50, ditemui dalam keadaan tanpa kepala di dalam longkang kira-kira 2.10 pagi pada 13 Nov lepas.
Susulan itu, polis menahan suspek, seorang lelaki yang berkerja sebagai pemandu lori di rumah bapanya di sebuah kampung di Gerik pada hari yang sama.
Turut ditemui bersama suspek adalah Sebilah parang panjang kira-kira 0.8 meter dan satu beg silang mengandungi sebilah pisau panjang kira-kira 0.15 meter.
Selain itu polis menemui satu guni plastik makanan anjing warna merah dan kuning, dan di dalamnya terdapat satu plastik sampah warna hitam mengandungi kepala manusia yang disyaki kepala mangsa.