Clik here to view.

Gambar hiasan
KUALA LUMPUR 12 Feb. – Seorang penuntut kolej swasta dihukum penjara dua hari dan denda RM800 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mencuri dua helai baju T jenama Manchester United bernilai RM199.80 di sebuah pusat beli-belah di ibu negara, bulan lalu.
Lydiawati Moh Ali, 20, turut diperintah oleh Majistret Muhammad Faizal Ismail untuk menjalani hukuman penjara 10 hari sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, remaja berkenaan bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa melakukan perbuatan tersebut di pusat beli-belah Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini pada pukul 7 petang, 24 Januari lalu.
Pertuduhan terhadap Lydiawati juga pekerja sambilan di pusat beli-belah tersebut dibuat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyah Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam Azi Azlin Zulkifli.
Terdahulu, dalam rayuan mengurangkan hukuman, Azi Azlin memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dan denda paling minimum terhadap anak guamnya ekoran remaja itu adalah pesalah muda dan masih belajar.
Ujarnya, anak guamnya sudah menyesal atas perbuatan tersebut dan ingin menjadi teladan terbaik buat adik-beradik yang lain dalam bidang pelajaran dan sahsiah.
Mengikut fakta kes, pada 1 Februari semasa sedang membuat kiraan stok, didapati dua helai baju jenama Manchester United warna hitam dan merah yang berharga RM99.90 setiap satu hilang.
Daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bertarikh 24 Januari itu, didapati terdapat imej seorang wanita dan lelaki yang juga pekerja sambilan di situ telah mengambil dan menyimpan dua helai baju tersebut di dalam beg kertas.
Malah kedua-duanya tidak membuat sebarang pembayaran sebelum membawa keluar beg itu tanpa menggunakan laluan khas untuk pekerja.