Quantcast
Channel: Jenayah & Mahkamah – TV14
Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082

Kerana Melakukan Salah Di Bawah OSA, Muhyiddin Boleh Didakwa

$
0
0

TSMY

KUALA LUMPUR 28 Feb. – Tan Sri Muh­yiddin Yassin boleh didakwa kerana bersubahat melakukan kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) dan kons­pirasi menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokratik.

Menteri di Ja­ba­tan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, bekas Timbalan Perdana Menteri itu sendiri mengakui beliau pernah diberi taklimat oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berhubung ‘bukti’ tuduhan jenayah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut beliau, taklimat itu berlangsung ketika Muhyiddin dan Abdul Gani masih menyandang jawatan masing-masing dalam kerajaan.

“Pengakuan ter­sebut menunjukkan terdapat kons­pirasi peringkat tinggi untuk menggulingkan Perdana Menteri sekali gus menafikan proses demokrasi serta keputusan yang dibuat oleh rakyat pada pilihan raya umum lalu.

“Tindakan bekas Peguam Negara tersebut secara peribadi memberi taklimat dan berkongsi maklumat perundangan sulit dengan Muhyiddin yang pada ketika itu mempunyai kepentingan sebagai anggota Kabinet dan ahli UMNO bukan sahaja tidak beretika malah melanggar OSA,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh membuat pengakuan itu dalam satu kenyataan semalam bagi mengulas keputusan Majlis Tertinggi (MT) menggantungnya daripada jawatan Timbalan Pre­siden UMNO.

Azalina turut mempersoalkan bagaimana Abdul Gani mempu­nyai ‘bukti’ yang mencukupi untuk mendakwa Perdana Menteri sedang­kan siasatan masih belum bermula.

“Adakah ini ‘bukti’ serupa de­ngan yang dikatakan oleh Wall Street Journal ketika mendakwa mereka mempunyai dokumen sulit yang digunakan untuk melontarkan tuduhan sensasi terhadap Perdana Menteri?” ujarnya.

Beliau menambah, timbul keraguan apabila kertas pertuduhan disediakan pada Mei tahun lalu iaitu sebelum pasukan petugas khas ditubuhkan dan siasatan bermula pada bulan berikutnya manakala Najib memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Disember lalu.

Azalina memberitahu, Muh­yiddin juga secara tidak langsung mempertikaikan kredibiliti Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan SPRM.

“Mengapa Muhyiddin membuat pengakuan itu sekarang, selepas beliau digantung daripada jawatan Timbalan Presiden UMNO?” katanya.

Beliau juga membangkitkan persoalan sama ada Muhyiddin boleh dianggap bersubahat kerana beliau tidak melaporkan kepada pihak berkuasa walaupun mendakwa mempunyai maklumat tentang tuduhan kesalahan jenayah.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082