Quantcast
Channel: Jenayah & Mahkamah – TV14
Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082

Bekas Guru Tarik Nafas Lega, Terlepas Dari Tali Gantung

$
0
0

tali

PUTRAJAYA- Bekas guru yang didakwa membunuh pelajarnya mampu menarik nafas lega apabila Mahkamah Rayuan membenarkan permohonannya bagi mengetepikan hukuman mati yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh tahun lalu.

Panel hakim yang diketuai oleh Datuk Ahmadi Asnawi membuat keputusan sebulat suara bersetuju dengan permohonan rayuan Hanif Mohd Ali dan menggantikannya kepada hukuman penjara 20 tahun.

Ahmadi ketika membaca keputusan itu berkata, setelah meneliti rekod rayuan dan hujahan, mahkamah mendapati ada merit terhadap rayuan dan tiada keterangan yang menyokong di bawah Seksyen 300 Kanun Keseksaan.

“Tiada keterangan perayu (Hanif) telah bermaksud untuk mendatangkan kecederaan pada leher si mati dan menyebabkan kematian.

“Kami bersetuju pertuduhan di bawah Seksyen 304 (a), membunuh tanpa niat telah dibuktikan,” katanya semalam.

Oleh yang demikian, mahkamah memerintahkan Hanif menjalani hukuman itu bermula tarikh tangkap iaitu 31 Mac 2011 dan mengambil kira hukuman yang telah dijalankan.

“Hukuman ini adalah setimpal,” katanya.

Turut bersidang Hakim Tan Sri Idros Haron dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Terdahulu, peguam Ariff Azami Hussien berhujah bahawa niat untuk mendatangkan kecederaan terhadap mangsa tidak dicabar oleh pendakwaan.

“Tiada niat perayu untuk mendatangkan kematian mangsa,” katanya.

Menurutnya, hakim mahkamah tinggi dilihat gagal mempertimbangkan kaitan yang wujud.

Ketika mitigasi, Ariff Azami berkata, kes tersebut merupakan kesalahan pertama anak guamnya.

“Sebelum ini, dia menjadi tenaga pengajar bagi program tahfiz di Penjara Tapah namun ia terhenti disebabkan oleh rayuan ini dan kemungkinan akan disambung semula selepas ini.

“Ini menunjukkan dia masih mampu menyumbang kepada masyarakat dan wajar diberi peluang oleh mahkamah,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika membalas hujahan berkata, mangsa berumur tujuh tahun dan berada dalam keadaan tangan terikat dari asar sehingga maghrib.

“Tangannya terikat ke atas dan perayu menumbuk bibir mangsa,” katanya.

Menurutnya, cekikan pada leher mangsa itu berlaku sama ada sebelum diikat mahupun selepas diikat.

“Tekanan pada leher menunjukkan ia berlaku selama empat minit sehingga wujudnya bintik merah pada paru- paru mangsa akibat kekurangan oksigen,” katanya.

Beliau berkata, tindakan perayu bukanlah bersifat menghukum namun sebaliknya mendera mangsa.

“Biarpun mangsa meninggal dunia selepas tiga hari, tiada orang lain yang melakukan cekikan kepada si mati kecuali perayu.

“Sudahlah tiada bukti menunjukkan mangsa mencuri, ia hanya bersandarkan kepada syak wasangka sahaja,” katanya.

Tambahnya, pihak pendakwaan pada awal lagi bergantung kepada cabang (c) Seksyen 300 Kanun Keseksaan.

“Memadailah pendakwaan membuktikan perayu mempunyai niat untuk menyebabkan keceraan semasa mencekik si mati,” katanya.

Pada Mac 2012, Hanif yang juga bekas warden asrama di Sekolah Rendah Agama Al-Furqan, Arau, Perlis dijatuhi hukuman penjara 18 tahun selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, pada 2011.

Mengikut pertuduhan asal, Hanif dituduh membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun pertuduhan itu dipinda kepada Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kematian tanpa niat ketika mahkamah memberikan keputusan pada akhir kes pendakwaan pada Mac 2012.

Namun pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Rayuan untuk mengembalikan pertuduhan asal terhadap tertuduh.

Mengikut fakta kes, hasil bedah siasat mendapati kematian mangsa adalah kerana hypoxia disebabkan tekanan pada leher, selain terdapat pelbagai kesan kecederaan ditemukan pada badan mangsa.

Selain Ariff Azami, peguam Azizzul Shariman Mat Yusoff dan Muhamad Hafiz Leman turut mewakili Hanif.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082