KUALA LUMPUR 3 Mac – Proses mengenal pasti serpihan berkemungkinan daripada pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang ditemukan di Mozambique, akan memakan masa berikutan melibatkan pelbagai prosedur.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, tempoh siasatan itu tidak dapat dipastikan kerana perlu melalui beberapa prosedur sepertimana proses yang dilakukan ke atas flaperon yang ditemukan di Pulau Reunion, Perancis pada Julai tahun lalu.
“Kita mahu menyiasat penemuan ini secepat mungkin, malah pihak Australia pada ketika ini telah menghantar pasukan penyiasat mereka ke Mozambique walaupun serpihan itu akan dibawa ke Australia.
“Selain itu, kami juga akan menghantar pasukan yang terdiri daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA), MAS dan Pasukan Penyiasatan Keselamatan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Annex 13 Malaysia untuk MH370 untuk turut terlibat dalam proses tersebut.
“Meskipun proses siasatan serpihan itu dilakukan di Australia, namun Malaysia akan tetap memantau keseluruhan proses itu dengan teliti,” katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Institut VTAR dan Majlis Perabot Malaysia.
Baru-baru ini, dilaporkan satu objek kemungkinan daripada pesawat MAS MH370 yang hilang hampir dua tahun lalu, dijumpai terdampar di tebing pasir di Mozambique, berhampiran Pulau Reunion.
Sumber memberitahu NBC News, objek itu sedang diperiksa bagi memastikan kaitannya dengan MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014 bersama 239 penumpang serta anak kapal.
Objek dijumpai seorang rakyat Amerika itu tertera tulisan ‘NO STEP’, dan mungkin bahagian penyambung antara sayap dengan ekor pesawat. – UTUSAN