GEORGE TOWN: Seramai 13 lelaki warga Indonesia yang bekerja di dua buah tapak pembinaan di Bukit Dumbar dan Jelutong, di sini ditahan polis dalam Op Rantau semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid, pihaknya menjalankan pemeriksaan di dua tapak pembinaan berkenaan dan sebuah medan selera di Sungai Pinang, di sini.
“Dalam operasi itu, kami memeriksa 96 warga asing dari pelbagai negara dan mendapati 13 daripada mereka gagal mengemukakan dokumen dan melanggar (syarat) pas lawatan sosial,” katanya.
Dalam operasi yang bermula pukul 4.45 petang hingga 9 malam itu, enam daripada semua lelaki Indonesia itu ditahan di tapak pembinaan di Bukit Dumbar manakala bakinya di tapak pembinaan di Jelutong.
“Semasa operasi itu, ada beberapa pekerja asing berkenaan cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa bagaimana mereka gagal berbuat demikian kerana kami terlebih dahulu mengepung kawasan tapak pembinaan terbabit,” katanya.
Mior Faridalatrash berkata tiada tangkapan dibuat dalam pemeriksaan di
medan selera itu kerana 35 warga asing yang bekerja di situ mempunyai dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah.
Katanya 13 lelaki Indonesia yang berusia 20 hingga 40 tahun itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk didokumentasi sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Juru bagi siasatan lanjut.
Sejumlah 41 pegawai dan anggota polis dengan kerjasama penguatkuasa Jabatan Imigresen Pulau Pinang dan Jabatan Pendaftaran Negara dan dibantu Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia terlibat dalam operasi itu dan pihaknya akan meneruskannya dari semasa ke semasa dalam usaha membendung kehadiran warga asing tanpa izin, katanya.
Dalam perkembangan lain beliau berkata remaja lelaki berusia 18 tahun yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang penganggur mati selepas bergaduh dengan suspek dalam kejadian di Kampung Baru di sini, direman selama tujuh hari sehingga 11 Mac ini.
Katanya lelaki warga China itu menyerah diri semalam selepas mangsa Loh Eng Chuan,30, yang bergaduh dengannya dalam kejadian 28 Feb lepas mati
semalam.
“Lelaki itu yang merupakan pelajar sebuah sekolah swasta di sini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Akhbar hari ini melaporkan mangsa dan remaja lelaki itu bergaduh dalam kejadian 28 Feb lepas ekoran tidak berpuas hati dengan tindakan suspek yang membuka pintu jeriji besi rumahnya (suspek) dengan kuat serta bising.
Berlaku tumbuk menumbuk antara dua lelaki itu sebelum ia dileraikan oleh jiran dan anggota keluarga mereka, bagaimanapaun semalam mangsa ditemui mati oleh ibunya dalam bilik tidur rumah mereka di Kampung Baru.
Hasil bedah siasat di Hospital Pulau Pinang mendapati mangsa mati disebabkan kecederaan dalaman di bahagian kepala dipercayai akibat pergaduhan dengan jirannya.