JEMPOL, 9 Mac — Tertekan masih belum cukup wang untuk melangsungkan perkahwinan hujung minggu ini, seorang lelaki nekad membuat laporan polis mendakwa disamun RM8,000.
Ketua polis daerah, Superintenden Noorzainy Mohd Nor berkata lelaki yang berusia 30 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Rompin kelmarin mendakwa disamun empat lelaki sekitar jam 11.30 pagi.
“Insiden didakwa berlaku di Jalan Ladang Batang Jelai, Rompin yang mana melalui laporan berkenaan, lelaki ini dikatakan telah dilanggar dari arah sebelah kanan oleh sebuah kereta jenis Hilux.
“Dia memberhentikan kenderaan kemudian turun empat lelaki yang tidak dikenali, tiga daripadanya telah menyerangnya dengan senjata parang. Salah seorang daripada empat lelaki itu telah melibas parang ke arahnya tetapi dapat dielak.
“Tidak cukup dengan itu, lelaki ini mendakwa salah seorangnya mengacukan parang kepadanya, dalam masa sama beg sandang yang diletakkan di dalam kereta telah diambil lalu mengambil kunci keretanya dan membuang kunci kereta ke dalam kebun getah berhampiran,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Noorzainy berkata, lelaki itu mendakwa selain wang tunai RM8,000, turut terdapat dalam beg itu ialah kad pengenalan, lesen memandu dan kad bank.
Katanya, lelaki itu dikesan menipu selepas siasatan lanjut dijalankan terhadapnya dan mengaku laporan itu dibuat disebabkan tertekan tidak mempunyai wang yang cukup untuk perkahwinan hujung minggu ini.
“Dia juga mengakui tidak berkongsi masalahnya itu dengan keluarga mahu pun kawan-kawan.
“Disebabkan menemui jalan yang buntu dia tekad membuat laporan palsu dengan harapan masalah kewangan akan dapat diselesaikan atas simpati kejadian.
“Sebelum itu, dia sempat menjual satu [peranti] Galaxy Tab miliknya di pekan Bahau dengan memperoleh RM150,” beliau dilaporkan berkata.
Kes disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu pendakwaan di mahkamah.
Pihak polis mengingatkan orang ramai agar tidak membuat laporan palsu walau apa pun masalah yang dihadapi kerana ia bukan sahaja memakan diri selain menyusahkan banyak pihak, kata Noorzainy.