ALOR SETAR: Seorang individu lelaki yang bertindak melepaskan tembakan kepada anggota polis maut ditembak di Taman Rakyat, Mergong awal pagi tadi.
Menruut Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Abd Jalil Hassan, pihak polis kemudiannya menemui sebutir bom tangan, sepucuk pistol jenis Smith & Wesson dan pelbagai jenis dadah dalam kenderaan Honda Civic berwarna putih yang dipandunya.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4.10 pagi itu, anggota polis yang sedang bertugas di sekitar berkenaan telah terserempak dengan sebuah kenderaan yang mencurigakan di persimpangan lampu isyarat berdekatan Bank Rakyat.
Pihak polis telah meminta pemandu yang juga lelaki itu memberhentikan kenderaannya tetapi dia terus memecut, katanya.
“Suspek turut melepaskan tiga das tembakan ke arah anggota polis yang dibalas pihak polis. Kenderaan suspek kemudiannya terbabas dan merempuh sebatang pokok di hadapan sebuah masjid.
“Suspek kemudiannya didapati meninggal dunia dipercayai akibat terkena tembakan,” katanya ditempat kejadian.
Abd Jalil berkata pihaknya tidak menemui sebarang identiti pada suspek.