Quantcast
Channel: Jenayah & Mahkamah – TV14
Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082

Wanita Perdaya JPN KL Guna Dokumen Palsu

$
0
0

ilustrasi_palu_meja01_ok

 

KUALA LUMPUR – Seorang penolong pengarah pusat kokurikulum di Jabatan Pendidikan Kuala Lumpur (JPN KL) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan memperdaya jabatan itu menggunakan dokumen palsu berhubung aktiviti bengkel kerja pengurusan.

Idayusni Ismail, 42, didakwa mengemukakan suatu dokumen iaitu “Perkhidmatan Mengurus Aktiviti bagi Bengkel Kerja Pengurusan Aktiviti Kejurulatihan Pusat Kokurikulum Kuala Lumpur pada 13 dan 14 Dis 2012” bertarikh 29 November 2011, berjumlah RM7,500, yang mana dia mengetahui dokumen itu mengandungi butiran palsu.

Wanita itu didakwa memperakukan bahawa kerja-kerja berkenaan telah dibekalkan kepada JPN KL tetapi sebenarnya kerja-kerja itu tidak dilaksanakan.

Dia yang tidak diwakili peguam itu didakwa melakukan kesalahan itu di Pusat Kokurikulum, Jalan Berserah Off Jalan Kuantan di sini, pada 14 Disember 2012.

Idayusni didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Wan Mohd Bukhari Wan Mohd menawarkan wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, bagaimanapun tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jaminan atas alasan dia menghidap penyakit darah tinggi dan perlu menanggung ibu dan adiknya.

Hakim Allaudeen Ismail membenarkan Idayusni diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 April ini untuk sebutan semula kes. – Bernama


Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082