KUANTAN – Seorang peniaga buah bersama isteri serta anak perempuannya mengalami detik mencemaskan selepas diikat lima lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian samun di rumah mereka di Felda Jengka 11 dekat Maran pagi ini.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Mat Rizal Mat Radzi berkata, dalam kejadian 3.50 pagi itu, mangsa yang berusia 56 tahun bersama isteri, 57, dan anaknya, 22, tidak mengalami kecederaan.
“Suspek memecah masuk melalui tingkap di bilik belakang rumah sebelum ke bilik tidur anak perempuan mangsa.
“Anak perempuannya yang terkejut melihat semua suspek memakai topeng bertindak menjerit memanggil bapanya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata suspek kemudian menerjah masuk ke bilik tidur peniaga buah itu menyebabkan mangsa tercampak selepas ditolak salah seorang suspek.
Penjenayah berkenaan kemudian mengumpulkan tiga beranak itu dalam satu bilik sebelum mengarahkan mangsa menyerahkan wang dan barang kemas.
“Suspek merampas wang tunai berjumlah RM3,500, enam telefon bimbit dan beberapa barang kemas dengan jumlah keseluruhan dianggarkan RM10,000,” katanya.
Mat Rizal berkata, suspek kemudian melarikan diri selepas setengah jam berada dalam rumah berkenaan.
Mangsa kemudian berjaya melepaskan diri dan membuat laporan di Balai Polis Jengka, katanya. – Bernama