BATU PAHAT: Dua beradik peniaga buah-buahan dibelasah 20 samseng apabila cuba menghalang dan menangkap pencuri pisang di kedai mereka di Jalan Rengit, Rengit dekat sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, Harun Arrashid Salahudin, 34, cedera parah apabila patah tulang muka dan tengkoraknya retak manakala adiknya, Muhamad Fadzilah, 28, lebam di muka selepas dibelasah samseng berkenaan.
Harun Arrashid yang koma dan dilaporkan kritikal, dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, selepas dipindahkan dari Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Batu Bahat, Asisten Komisioner Din Ahmad, mengesahkan kejadian dan siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa dibelasah oleh sekumpulan 20 lelaki.
“Siasatan mendapati kebanyakan mereka menyerang mangsa berkenaan dengan bersenjatakan besi dan usaha mengesan 20 samseng ini termasuk suspek utama yang dikenali sebagai ‘Joker’ giat dijalankan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 148/326 Kanun Keseksaan kerana menyerang dengan niat mencederakan serta memiliki senjata,” katanya.-BH Online