GEORGETOWN: Seorang lelaki yang cuba melarikan diri selepas menyamun seorang pelancong asing maut akibat terjatuh dari sebuah bangunan di Lebuh Chulia di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 8.20 malam itu, suspek berusia 29 tahun bertindak merampas telefon bimbit milik pelancong Sepanyol sebelum melarikan diri dengan menunggang motosikal bersama rakannya berusia 23 tahun.
Orang ramai yang melihat kejadian bertindak mengejar suspek menyebabkan motosikalnya terbabas dan dia melarikan ke arah bangunan hotel tiga tingkat berdekatan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid, berkata suspek kemudian cuba melompat dari bumbung bangunan hotel ke bangunan sebelah, namun tergelincir dan jatuh.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah selepas jatuh dari bangunan tinggi, manakala rakannya berusia 23 tahun ditahan orang ramai.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat dan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya ketika ditemui.-BH Online