Quantcast
Channel: Jenayah & Mahkamah – TV14
Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082

3 Identiti Palsu 1 Kenderaan

$
0
0

jpj logo

 

Kota Bharu: Satu kenderaan tetapi memiliki tiga identiti palsu berbeza. Itu antara taktik baru digunakan sindiket kenderaan klon untuk mengaburi pihak berkuasa.

Taktik itu bagaimanapun dibongkar ketika wartawan Harian Metro melakukan penyamaran bersama Unit Skuad Khas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak beberapa hari lalu.

Hasil rampasan dilakukan terhadap sebuah kereta model Nissan Sentra di Kota Bharu di sini, pihak JPJ menemui plat palsu milik sebuah kereta model sama dan Proton Waja yang didaftarkan sah di Johor Bahru.

Malah pihak JPJ turut menemui dokumen motosikal hilang yang digunakan untuk mengklonkan kereta itu.

Jurucakap JPJ berkata, taktik itu digunakan untuk mengelakkan kenderaan lupus Singapura itu dikenal pasti pihak berkuasa.

“Pemandu kereta itu yang juga seorang wanita memberi pelbagai alasan termasuk kereta itu dipajak oleh rakan kepadanya sebaik dia ditahan.

“Wanita itu kemudiannya dibawa ke pejabat JPJ di Panji, di sini, sebelum menukar keterangan mendakwa kereta itu dibeli suaminya yang juga seorang bomoh pada harga RM5,000,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, sindiket menjual kereta klon itu dikesan mengajar ‘ayat lepas diri’ kepada pembelinya sebagai persediaan sekiranya ditahan pihak berkuasa.

“Antara alasan diberikan adalah kereta itu dipajakkan kepada mereka, meminjam kereta kawan dan tidak tahu membeli kereta klon bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang.

“Bagaimanapun, mereka tidak tahu kami sudah mahir dengan alasan diberikan itu,” katanya.

Katanya, sindiket menjual kereta klon itu sengaja membekalkan nombor pendaftaran palsu tambahan membabitkan kenderaan lain kepada pembeli.

Sementara itu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, tindakan menggunakan kenderaan klon boleh membawa pelbagai implikasi buruk.

“Bila berlaku kemalangan dan ditahan polis, kenderaan itu akan disita, berdepan risiko institusi perbankan, didakwa serta dihukum denda dan penjara mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967, Akta Pengangkutan Jalan 1987, Kanun Keseksaan dan Akta SPRM 2009,” katanya.-HMetro


Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082