Johor Bahru: Seorang wanita berusia 20-an yang mendakwa dirinya penuntut sebuah universiti awam menggunakan taktik menjual cadar ‘patchwork’ (tampal) dalam talian dengan harga yang amat murah sebelum menyebabkan 76 mangsa kerugian keseluruhan RM77,420.
Selain memberi alasan dia baru cuba berniaga mencari wang bagi menampung kehidupan sebagai mahasiswi sebagai cara menarik simpati orang ramai, wanita yang turut menawarkan perniagaannya itu menggunakan Facebook turut gagal dikesan hingga ke hari ini.
Wang RM77,420 itu dipercayai dikumpulnya dalam masa tiga hari daripada mangsa di seluruh negara dengan menggunakan tiga akaun berasingan yang dua daripadanya dipercayai menggunakan milik orang lain sebelum wanita itu menghilangkan diri.
Seorang pereka projek syarikat swasta yang hanya mahu dikenali sebagai Norhidayah, 30, berkata, dia kerugian RM940 selepas membuat pembayaran bagi pembelian 24 set cadar berkenaan daripada wanita terbabit.
Katanya, dia berminat membeli cadar berkenaan kerana harganya amat murah iaitu RM25 bagi cadar tunggal, RM35 (empat dalam satu) dan RM45 (enam dalam satu).-myMetro