TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) menggagalkan cubaan dua lelaki menyeludup tujuh kerbau bernilai RM42,000 ke negara jiran, menggunakan sebuah kapal kayu melalui muara sungai Tanjung Batu, dekat sini, malam tadi.
Kedua-dua lelaki itu ditahan oleh sepasukan anggota PPM Tawau yang menjalankan rondaan menerusi Ops Papa Tango di kawasan berkenaan, jam 9.30 malam.
Komander PPM Wilayah Empat, Asisten Komisioner Mohamad Madun, berkata pemeriksaan mendapati juragan rakyat tempatan bersama pemilik kerbau warga Indonesia, kedua-dua mereka berumur 50-an itu gagal mengemukakan permit atau surat kebenaran daripada Jabatan Haiwan untuk membawa keluar semua haiwan berkenaan.
“Semua kerbau terbabit dipercayai cuba dibawa keluar dari daerah ini untuk dijual di Indonesia.
“Dua suspek terbabit bersama barang rampas kemudian dibawa ke Pangkalan PPM Tawau untuk tindakan lanjut sebelum dirujuk kepada Jabatan Haiwan untuk siasatan mengikut Ordinan Haiwan,” katanya di sini, sebentar tadi.