Quantcast
Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082

Polis Tahan Lelaki Edar Dadah Di Kawasan Hospital

Image may be NSFW.
Clik here to view.
heroin

 

BAGAN SERAI – Tindakan berani seorang lelaki menjadikan hospital sebagai transit pengedaran dadah di sekitar Parit Buntar, dekat sini terbongkar apabila dicekup polis di pekarangan Hospital Parit Buntar pada 21 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, pada jam 10.40 malam, sepasukan anggota polis diketuai Inspektor Hayat Eree menahan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang duduk di atas sebuah motosikal di pekarangan tempat parkir kenderaan Hospital Parit Buntar.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas tubuh suspek berusia 25 tahun itu menemui satu bungkusan plastik dipegang suspek mengandungi enam peket dadah jenis heroin.

“Siasatan ke atas peket plastik itu mengesahkan suspek membawa 310 gram dadah jenis heroin bernilai lebih RM17,000 untuk tujuan pengedaran di sekitar Parit Buntar.

“Lebih mengejutkan, suspek yang merupakan orang tempatan turut menjadikan kawasan hospital sebagai salah satu lokasi transit pengedaran dadah di sekitar Jalan Sempadan, Parit Buntar sejak setahun lalu,” katanya kepada media pada sidang media di bilik mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Kerian hari ini.

Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kerian, Asisten Superintendan Friedel Nyambong.

Omar Bakhtiar berkata, susulan penangkapan suspek utama, pada 22 Mac 2016 lebih kurang jam 2.30 pagi, polis kemudiannya membuat pemeriksaan ke rumah suspek di Taman Sintar Indah, Nibong Tebal.

Menurutnya, polis menemui tiga lagi peket lutsinar berisi dadah jenis heroin seberat 164 gram disembunyikan di bawah sinki dapur.

“Serbuan itu turut menyaksikan seramai dua lelaki dan dua perempuan yang merupakan ahli keluarga suspek ditahan bagi membantu siasatan.

” Selain itu, sebuah motosikal jenis Kawasaki Ninja Kips bernilai RM5,000 turut disita, manakala anggaran keseluruhan dadah heroin dirampas meliputi dua kes itu bernilai RM23,700,”katanya.

Omar Bakhtiar berkata, kesemua suspek ditahan berusia lingkungan 25 tahun hingga 42 tahun dan suspek utama turut mempunyai kesalahan rekod lampau.

Menurutnya, kedua-dua kes disiasat secara berasingan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 Dan jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dijatuhkan hukuman mati mandatori.

“Kesemua suspek kini direman selama 12 hari di lokap Balai Polis Bagan Serai dan Balai Polis Nibong Tebal untuk siasatan lanjut.

” Tangkapan ini hasil kerjasama penyaluran maklumat orang awam selain risikan polis dan kejayaan ini dipercayai melumpuhkan kegiatan pengedaran dadah di Parit Buntar,”katanya.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082