Quantcast
Channel: Jenayah & Mahkamah – TV14
Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082

Polis Marin Tahan 11 Nelayan Asing, Rampas 5,000kg Ikan

$
0
0

lahad-datu-marin

 

KUANTAN – Polis Marin Wilayah Tiga merampas lebih 5,000 kilogram pelbagai jenis ikan dan menahan 11 nelayan asing yang dipercayai menceroboh perairan negara, kira-kira 20 batu nautika timur Pulau Tioman awal pagi Sabtu lepas.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga ACP Zulkafli Saariat berkata turut ditahan bersama nelayan yang berumur 14 hingga 60 tahun itu ialah pelbagai peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan ikan yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM1.8 juta.

“Ketika kejadian, sepasukan anggota polis sedang membuat rondaan di perairan tersebut sebelum berjaya mengesan sebuah bot nelayan asing yang sedang menjalankan kegiatan menangkap ikan dengan cara menunda.

“Sebaik menyedari kehadiran polis, bot nelayan itu bertindak memotong tali tunda dan cuba melarikan diri, namun mereka berjaya ditahan setelah dikejar selama 30 minit,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan, bot nelayan berkenaan tidak mempunyai sebarang kebenaran atau lesen untuk menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan negara.

Katanya, semua tangkapan dan rampasan telah diserah kepada Jabatan Perikanan untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Zulkafli berkata tangkapan itu merupakan kes ketiga pada bulan ini yang berjaya dikesan oleh Polis Marin Wilayah Tiga membabitkan bot nelayan asing dengan nilai rampasan yang mencecah jutaan ringgit.

Pada 10 Mac lepas, sebanyak dua bot nelayan asing juga telah menceroboh perairan Pulau Tioman, berikutan itu polis menahan masing-masing seramai sembilan dan 11 nelayan asing yang melibatkan nilai rampasan sebanyak RM1.1 juta dan RM1.5 juta. – BERNAMA


Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082