Quantcast
Channel: Jenayah & Mahkamah – TV14
Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082

Operasi Bersepadu Berjaya Rampas Pelbagai Barang Bernilai RM86,000

$
0
0

KOTA BHARU 04 APRIL 2016. Anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memeriksa barang kawalan yang dirampas termasuk gula, minyak masak, tepung dan permaidani termasuk stok jualan murah dianggar bernilai RM86,140.98 dalam Operasi Bersepadu bersama pelbagai agensi penguat kuasa di dua tempat berasingan di Rantau Panjang dan Kota Bharu ketika sidang media di Stor KPDNKK Kelantan di Pengkalan Chepa. NSTP/SYAMSI SUHAIMI

 

KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan merampas pelbagai barang membabitkan nilai rampasan RM86,140.98 dalam Operasi Bersepadu pada 27 hingga 31 Mac lalu.

Operasi dilakukan dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Imigresen.

Pengarahnya, Datuk Abdul Ghani Harun, berkata serbuan dilakukan di dua premis di Rantau Panjang dan Jalan Kuala Krai di sini.

Katanya, serbuan itu hasil maklumat dan intipan untuk mengenal pasti pengusaha yang gagal mematuhi peraturan.

“Pemeriksaan pertama dilakukan di premis di belakang bangunan berhampiran Sungai Golok di Kampung Banggol Kulim, Rantau Panjang, kira-kira jam 6.40 pagi pada 28 Mac lalu.

“Siasatan mendapati pemilik kedai seorang wanita berusia 40-an menyimpan pelbagai barangan kawalan secara tidak sah (tanpa lesen) seperti gula, gandum dan minyak masak seberat 10,930 kilogram bernilai RM23,711.98,” katanya pada sidang media di Unit Eksibit Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Kepenggunaan dan Koperasi (PDNKK) Kelantan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, rampasan kedua di kedai permaidani di Jalan Kuala Krai di sini, pada jam 12 tengah hari sama.

Katanya, sebanyak 175 permaidani dianggarkan bernilai RM62,429 dirampas.

“Pengusaha permaidani itu didapati menjual produk yang sudah lama, namun menggunakan kempen jualan murah untuk menarik perhatian pengunjung,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan mengikut Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Harga Jualan Murah) (Pindaan) 2015.

Sementara itu, dalam tempoh sama, menerusi operasi di kawasan bebas cukai di Pengkalan Kubor, Tumpat, sebanyak empat kes dilaporkan dengan kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan, manakala satu kes mengikut Akta Timbang dan Sukat.-BHOnline


Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082