GOMBAK: Cubaan empat penjenayah merompak sebuah kedai emas di Jalan Selayang Baru, di sini, gagal apabila dibaling kerusi oleh pemilik premis itu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang tadi, suspek yang bersenjatakan tukul besi dan parang itu dikatakan sedang memecahkan cermin meja pameran untuk mengambil barang kemas sebelum alat penggera premis berbunyi.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad, berkata bunyi itu mengejutkan pemilik premis yang ketika itu berada di kedai berhampiran lalu bergegas pulang ke premisnya.
“Setibanya di hadapan premis, lelaki berusia 42 tahun itu terkejut melihat empat lelaki sedang memecahkan kaca meja pameran. “Dia kemudian mengambil kerusi dan membalingnya ke arah suspek yang melarikan diri,” katanya.
Ali berkata, hasil siasatan mendapati suspek berusia lingkungan 20an hingga 30an menaiki sebuah kereta putih yang tidak diketahui jenisnya serta bersenjatakan tukul dan parang.
“Dalam kejadian itu, penjenayah gagal melarikan barang kemas namun pemilik kerugian kira-kira RM10,000 akibat cermin meja pameran pecah,” katanya.
Ali berkata, siasatan masih dilakukan bagi mengesan suspek dengan kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan. -BHOnline