MANJUNG: Seramai 22 warga Filipina berketurunan Suluk termasuk seorang wanita dihukum penjara enam bulan dan diusir pulang ke negara asal oleh Mahkamah Majistret di sini, selepas mengaku salah memiliki kad pengenalan palsu dan menggunakan kad pengenalan milik orang lain.
Semua mereka yang berusia antara 21 hingga 45 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan serentak oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Nur Shaqira Ibrahim.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang juga Ketua Unit Pendakwaan JPN Putrajaya, Mohd Fazdhly Abdul Razak dibantu Pegawai Pendakwa JPN Perak, Ahmad Firdaus Che Md Rose.
Semua tertuduh bagaimanapun tidak diwakili mana-mana peguam. Mereka didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) dan boleh dihukum mengikut peraturan sama yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau didenda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Mengikut fakta kes, semua tertuduh ditahan sepasukan penguat kuasa Jabatan Imigresen Perak dalam satu operasi di Jalan Pelabuhan, Taman Perindustrian Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Kampung Acheh 2, dekat sini, jam 6.30 pagi 31 Mac lalu.
Terdahulu, selepas mahkamah merekodkan pengakuan salah semua tertuduh, Mohd Fazdhly memohon mahkamah mengenakan hukuman sekurang-kurangnya enam bulan penjara terhadap semua tertuduh kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius dan membabitkan keselamatan negara.
“Semua tertuduh mendapatkan dokumen tidak sah dan menghina undang-undang di Malaysia, malah susulan peristiwa berdarah Lahad Datu di Timur Sabah, lebih 300 operasi sudah dilaksanakan ESSCOM dan selepas itu ramai rakyat Filipina yang mengaku rakyat Sabah lari ke Semenanjung termasuk Perak khususnya di Manjung.
“Untuk itu, saya mohon mahkamah menjatuhkan hukuman minimum sekurang-kurangnya enam bulan penjara supaya menjadi pengajaran kepada yang lain, selain pengusiran ke negara asal oleh Jabatan Imigresen,” katanya. -BHOnline