KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri berdepan dua pertuduhan di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting hari ini kerana mengedar cecair dadah jenis kanabis pada 7 Dis lalu.
Kedua-dua mereka, Muhammad Lukman Mohamad dan Nadiah Rahmat berusia 26 tahun didakwa di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar 264 gram dadah jenis itu manakala pertuduhan kedua melibatkan kesalahan mengedar 10,786 gram dadah jenis sama.
Mengikut pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Marsilawati Mohamad Shah, kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Bandar Mahkota, Banting dekat sini pada tarikh berkenaan.
Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan dan jika didapati bersalah, mereka akan berdepan dengan hukuman mati mandatori.
Marsilawati kemudian menetapkan 29 Jan depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu keputusan laporan kimia.
Tertuduh diwakili peguam Farhan Maaruf dan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ain Fadilla Md Ali.