SEPANG: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh anak teman wanitanya yang berumur 19 bulan.
Tertuduh, Aizat Abdullah Othman, 22, hanya menganggukkan kepala dan menjawab faham selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Sharifah Muhaymin Abd Khalib.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan selepas pertuduhan dibacakan kepadanya.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 30 Mei ini sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aziatul Afrizan Alias manakala tertuduh diwakili peguam, Kee Wei Lon.
Sebelum ini, media melaporkan lelaki berkenaan melakukan perbuatan itu dengan menghempas bayi berkenaan, Hannah Sufiyah Muhammad Adib di rumah sewa ibu bayi itu di di Blok B, Apartmen Teratai, Putra Perdana, Puchong di sini kira-kira jam 1.40 tengah hari 31 Mac lalu. -BHOnline