PUTRAJAYA: Tiga pasukan khas terdiri dari anggota polis Putrajaya ditubuhkan bertujuan membuat serbuan selain meningkatkan rondaan dalam usaha menangani kejadian rompakan di sekitar Putrajaya.
Menurut Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Rosly Hassan, setiap pasukan dianggotai dua orang ahli dan masing-masing menfokuskan kepada kawasan perumahan di Presint 10 dan Presint 15 yang merupakan lokasi tumpuan perompak sejak kebelakangan ini.
“Kawasan ini jadi tumpuan sebab dekat dengan hutan dan bukit jadi mudah untuk mereka melarikan diri selepas merompak,” katanya.
Insiden terkini berlaku di sebuah rumah presint 15 dimana sepasang suami isteri terpaksa berhadapan detik cemas apabila kediaman mereka dimasuki empat perompak bertopeng yang bersenjatakan pisau.
Kejadian yang berlaku awal pagi dua hari lalu itu menyebabkan mereka menanggung kerugian berjumlah sekitar RM15,000 termasuk tunai RM3,000, barang kemas dan beberapa jam tangan berjenama serta empat telefon bimbit.
Ekoran kejadian tersebut, pihak polis masih memburu kesemua suspek dan mereka juga dipercayai aktif melakukan kegiatan tersebut di beberapa lokasi lain antaranya Kuala Lumpur, Kajang dan Bangi.
Justeru, Rosly mengingatkan agar penduduk mengamalkan langkah-langkah keselamatan antaranya dengan memastikan semua pintu rumah berkunci dengan baik.
“Anggota kami pernah mengetuk pintu sebuah rumah pada pukul 3.30 pagi kerana penghuni membiarkan pintu berjeriji terbuka dan ini berbahaya kerana memudahkan perompak untuk masuk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di pertandingan menembak IPD Putrajaya bersama komuniti dan media, di sini hari ini.