KUALA LUMPUR: Tiga individu termasuk seorang koperal polis masing-masing didakwa di tiga Mahkamah Majistret berasingan, atas tuduhan terbabit dalam kumpulan militan IS.
Di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Koperal Jusninawati Abdul Gani, 34, didakwa atas tuduhan dengan sengaja tidak memberi maklumat berhubung kumpulan militan IS sejak Ogos tahun lalu.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret Selayang, Mohd Haniffa Syedul Akbar, 36, yang bekerja sebagai pengurup wang didakwa atas tuduhan memiliki barang yang mempunyai kaitan dengan perbuatan pengganas, Mac lalu.
Di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pula, peniaga, Mohd Naazri Ishak, 49, didakwa menyediakan kemudahan akaun Maybank untuk kegunaan kumpulan pengganas, pada Mac lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi. Mahkamah juga tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap ketiga-tiga tertuduh. -BHOnline