JASIN: Polis Melaka membongkar kegiatan mencuri lebih 100 batang balak berkualiti tinggi dianggarkan bernilai lebih RM1 juta di sebuah bekas tapak tinggalan padang golf di Kesang, di sini, minggu lalu.
Kegiatan itu dipercayai bermula sejak Mac lalu di kawasan seluas kira-kira 212 hektar di tapak padang golf pada era 70-an berkenaan.
Bagaimanapun, kegiatan itu dihentikan apabila sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) membuat pemeriksaan, susulan laporan daripada seorang pengurus projek berusia 48 tahun pada 14 April lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Ramli Din, berkata curiga kawasan berkenaan mungkin diceroboh, pemilik tanah itu mengarahkan pengurus projeknya membuat laporan polis.
Beliau berkata, sejurus menerima laporan sepasukan anggota terus melakukan pemeriksaan dan mendapati, beberapa balak pelbagai jenis dan saiz sudah ditebang, sebelum menahan beberapa individu termasuk tukang kayu dan mekanik.
“Turut dirampas 10 batang balak pelbagai jenis dan saiz, sebuah jentera jengkaut, tiga lori, kenderaan pacuan empat roda dan dua mesin pemotong kayu di kawasan terbabit,” katanya pada sidang media di IPD Jasin, di sini, petang tadi.
Ramli berkata, susulan rampasan itu, polis menyerbu sebuah kilang kayu di Alor Gajah pada hari sama, sebelum menemui 28 batang balak lagi dan timbunan kayu yang sudah diproses.
“Setakat petang ini (semalam), seramai 10 individu yang juga rakyat tempatan berusia 20 hingga 50 tahun ditahan secara berperingkat bagi membantu siasatan.
“Polis sedang memburu dua lagi individu dikenali A Nasaruddin Abd Ghani, 51, dari Ramuan Cina Kecil, Alor Gajah dan Razid Ripin, 34, dari Kampung Rumbia, Alor Gajah untuk membantu siasatan,” katanya.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri. -BHOnline