SEREMBAN: Pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM6.38 juta dirampas dalam serbuan di sebuah rumah yang dijadikan stor di Pangsapuri Taman Semarak, Nilai, Khamis lalu.
Ketua Polis Negeri, Datuk Jaafar Mohd Yusof, berkata dalam serbuan jam 4.40 petang itu, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, turut menemui sebuah mesin pembentuk tablet dan ketuhar.
Katanya, rumah itu tidak berpenghuni ketika serbuan berkenaan dan pihaknya percaya premis itu ditinggalkan sindiket pengedaran dadah setahun lalu.
“Hasil siasatan lanjut, polis menahan seorang lelaki berusia 52 tahun dan anak lelakinya berusia 33 tahun di Pulau Pinang pada jam 12.30 tengah hari tadi.
“Kita masih menjalankan siasatan lanjut dan akan mengambil keterangan kedua-dua suspek terbabit bagi membantu siasatan, ” katanya pada sidang media di sini, hari ini. -BHOnline