AYER KEROH: Seorang penghuni pusat pemulihan dadah Tiang Dua dipenjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret, di sin, hari ini selepas mengaku bersalah mencacah tatu pada badannya ketika dalam tempoh pengawasan dua tahun di pusat itu.
Mohd Fazzlizal Razak, 30, dari Gemas, Negeri Sembilan membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Hurman Hussain. Dia diperintah menjalani hukuman penjara dari tarikh ditangkap pada 21 April lalu.
Dia mengaku melanggar Ikrar Aku Janji Penghuni, 19 November 2015 dengan membuat tatu pada anggota badannya, iaitu lengan, paha dan betis kiri serta paha dan lutut kanan di pusat pemulihan terbabit, kira-kira jam 11 pagi pada 14 Januari lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Kaedah 68, Kaedah-Kaedah Pusat Pemulihan Dadah 1983 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 20(1)(b) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda. Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Melaka, Mohd Radi Abdullah. -BHOnline