KUALA LUMPUR – Gara- gara menjual pelbagai cakera padat digital (DVD) permainan video cetak rompak, seorang penjual DVD dihukum penjara tiga hari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Mohd Rehan Mohd Aris menjatuhkan hukuman itu ke atas Tan Chee Chung, 34, selepas dia mengaku bersalah menjual 251 keping DVD permainan video PS3 pelbagai tajuk yang tidak mempunyai nama, alamat dan penerbit.
Mahkamah memerintahkan Tan menjalani hukuman itu dari tarikh tangkap pada 27 April lepas, dan sekiranya gagal membayar denda, dia boleh dipenjara dua bulan.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis, Trillion Victory Sdn Bhd, Blok C-8-1, Menara Uncang Emas, Jalan Loke Yew, Cheras di sini, pada 1.30 tengah hari, 27 April lepas.
Bapa kepada dua anak berusia empat dan dua tahun itu didakwa mengikut Seksyen 11 (2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Farith Muhammad Faizal memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam supaya dapat memberi pengajaran kepada tertuduh.
Tan yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman ringan dengan alasan dia menjaga ibu yang berusia 70 tahun dan isteri yang akan bersalin anak ketiga selain menyesal atas kesalahan yang dilakukannya itu. – BERNAMA