KLANG – Kerana gagal menyamun sebuah kedai telekomunikasi, seorang penyamun bertindak melepaskan beberapa das tembakan rambang dalam kejadian di Jalan Meranti Putih, Taman Desa Permai 2, di sini, hari ini.
Difahamkan, kejadian kira-kira jam 4.30 petang berlaku ketika suspek datang sendirian ke premis terbabit menaiki motosikal jenis Yamaha LC kononnya untuk membeli telefon bimbit.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata, suspek kemudian menunjukkan pistol kepada pemilik kedai untuk mengugutnya bagi menyerahkan wang selain mengarahkan beberapa pelanggan untuk duduk.
“Selain itu, suspek telah mengarahkan pemilik kedai berusia 50-an itu untuk mengeluarkan telefon bimbit yang diletakkan di rak pameran.
“Ketika suspek yang cuba untuk mengambil telefon bimbit itu, pemilik kedai telah menghentak kepala suspek di rak pameran hingga menyebabkan suspek melepaskan satu das tembakan,” katanya.
Mohd Yusoff berkata, suspek kemudian cuba melarikan diri, namun dikejar pemilik kedai dan berlaku pergelutan.
Katanya, seorang pelanggan turut membantu menangkap suspek.
Tambahnya, insiden tersebut menyebabkan sekali lagi suspek bertindak melepaskan beberapa das tembakan hingga hampir mengenai seorang kanak-kanak yang berada berhampiran di lokasi kejadian.
“Suspek berjaya ditangkap dan polis telah merampas sepucuk pistol jenis Colt .45.
“Siasatan dapati suspek berusia 44 tahun, datang dari Sungai Buloh dan mempunyai kes dikehendaki bersabit kes samun di Rawang selain turut memiliki empat rekod samun,” katanya.
Kes disiasat mengikut Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. -SInarOnline