TELUK INTAN – Tiga remaja dan seorang kanak-kanak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini sebentar tadi atas pertuduhan perbuatan mencuri sebuah telefon bimbit dan beg tangan di dalam Masjid Sultan Idris 2 di sini April lalu.
Tertuduh yang berusia 12 hingga 14 tahun membuat mengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dihadapan Hakim Siti Hanum Mohmad Sah.
Mengikut pertuduhan, tiga daripada remaja tersebut yang berusia 12 dan 14 tahun didakwa memiliki sebuah telefon bimbit yang dipercayai sebagai harta curi sewaktu berada di dalam masjid berkenaan pada pukul 8.50 malam 23 April lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman penjara sehingga setahun, denda tidak lebih RM1,000 atau kedua-duanya.
Bagi seorang lagi tertuduh yang berusia 13 tahun, dia didakwa mencuri sebuah beg tangan wanita di bilik solat wanita Masjid Sultan Idris 2 pada pukul 7.40 petang 27 April lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan dan boleh dihukum dibawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman tidak lebih 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Hakim membenarkan ikat jamin sebanyak RM200 untuk setiap seorang. Ibu bapa kesemua tertuduh membayar denda yang ditetapkan.
Pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirul Asyraf Abdul Rasid.
Kes akan disebut semula pada 7 Jun depan selepas mahkamah menerima laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masayarakat. – K! ONLINE