TUMPAT: Akibat cuba mencuri motosikal jemaah masjid, seorang lelaki cedera dibelasah penduduk kampung. Bukan setakat dibelasah, suspek berusia 30-an itu juga diletakkan di dalam sangkar ayam sebelum diikat pada sebatang pokok.
Suspek dikatakan memasuki perkarangan masjid di Kampung Bukit, di sini, kira-kira jam 6 pagi tadi ketika jemaah sedang solat Subuh. Seorang saksi yang ingin dikenali sebagai Zamri, 40-an, berkata kejadian berlaku ketika suspek sedang menolak sebuah motosikal yang dicuri keluar dari kawasan masjid.
“Beberapa penduduk kampung ternampak kelibat lelaki itu dan terus menangkapnya. “Mereka yang marah dengan perbuatannya mengambil tindakan mengikat suspek di sebatang pokok bagi mengelakkannya melarikan diri,” katanya ketika ditemui di sini, sebentar tadi.
Zamri berkata, ketika disoal, lelaki itu memberitahu dia mencuri kerana terpaksa bagi menampung perbelanjaan isteri yang baru melahirkan anak. Namun, penduduk kampung enggan mempercayainya dan terus menghubungi polis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Zaharuddin Rasip, mengesahkan menerima laporan kes itu dan hasil pemeriksaan, suspek yang juga seorang bekas banduan memiliki empat rekod jenayah lampau. Kes disiasat di bawah Seksyen 379 atas kesalahan mencuri motosikal. -BHOnline