JOHOR BAHARU: Tiga individu lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes kehilangan seorang budak perempuan di sebuah hotel di Jalan Maju, Taman Pelangi, di sini awal bulan ini.
Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan ACP Sulaiman Salleh mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan semua mereka telah ditahan untuk membantu siasatan.
Tambah beliau, ketiga-tiga lelaki itu berusia antara 30 hingga 33 tahun, dan bekerja sebagai tukang masak, buruh dan seorang lagi penganggur.
“Dua dari mereka ditangkap pada 11 Dis lalu manakala seorang lagi pada 16 Dis. Seorang mempunyai lima rekod jenayah dan dadah, seorang mempunyai satu rekod dadah dan seorang lagi tiada rekod,” katanya.
Sulaiman berkata kes itu masih dalam siasatan polis.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 48 Akta Kanak-Kanak 2001 Pemerdagangan dan Pemelarian kanak-kanak,” katanya.
Sementara itu menurut “NUR Alert”, Angie Tiong, 2, dilaporkan hilang di sebuah hotel di bandar raya ini.
Laporan kehilangannya dibuat pada 10 Dis lepas.
Semenjak NUR Alert mengenai kehilangan Angie disebar melalui laman rasmi Facebook Kementerian Pendidikan Malaysia semalam, ia telah dikongsi sebanyak 4,768 kongsian.
Terahulu sistem NUR Alert diwujudkan kerajaan bagi membantu mengesan kehilangan kanak-kanak bawah 12 tahun.