SUBANG JAYA – Seorang remaja yang bertindak melukis lesen memandu menggunakan pensil bagi menyakinkan rakannya dia sudah memiliki lesen membawa padah selepas dia ditahan sepasukan polis dalam satu sekatan jalan raya di SS15 di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 10 pagi, pelajar lelaki berusia 17 tahun yang menunggang motosikal jenis Yahama 125z itu bukan sahaja tidak memiliki lesen memandu yang sah, malah menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Azlin Sadari berkata, remaja itu mengaku melukis lesen memandu secara suka-suka sebagai bahan jenaka bersama rakan-rakannya.
“Hasil siasatan mendapati lelaki itu menunggang motosikal milik salah seorang ahli keluarganya. Pemeriksaan lanjut mendapati lesen memandu yang dilukisnya tertera nama, tempat tinggal selain tertera jenis kelas memandu.
“Pihak polis telah mengeluarkan dua saman terhadap remaja itu berikutan tidak memiliki lesen memandu serta nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi. – K! ONLINE