Quantcast
Channel: Jenayah & Mahkamah – TV14
Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082

Mahkamah Perintah Awie Bayar Nafkah Anak RM1,600

$
0
0

KUALA LUMPUR 13 May 2015.  Awie semasa Sidang Akhbar Konsert L:agenda-Jelajah Rock di Hard Rock Cafe Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur. NSTP/Shiraz Ali

 

Mah­ka­mah Tinggi Syariah di sini memerintahkan vokalis kumpulan rock Wings, Awie membayar nafkah sementara untuk dua anaknya yang kini di bawah jagaan bekas isteri­nya, Rozana Misbun berjumlah RM1,600 mulai bulan ini.

Hakim Syarie Ibrahim Deris membuat keputusan tersebut tanpa kehadiran pasangan itu mengikut peruntukan Seksyen 202 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1998.

Keputusan tersebut juga dibuat selepas mengambil kira afidavit Rozana, 38, selaku pemohon dan juga afidavit jawapan serta tawaran balas oleh pelakon utama filem Zombi Kampung Pisang itu atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 48, yang dinamakan sebagai responden.

“Untuk kepentingan anak-anak, mahkamah mempunyai kuasa untuk membuat perintah sementara nafkah anak dengan mengambil kira tawaran balas oleh responden dan turut merujuk kepada afidavit jawapan.

“Mahkamah dengan ini memerintahkan responden membayar nafkah bagi Putra Ahmad Rezzki, 8, dan Puteri Qasseh Antasha, 6, sebanyak RM800 setiap seorang berkuat kuasa bulan ini. Tuntutan-tuntutan lain ditolak,” kata beliau.

Wang nafkah tersebut akan didepositkan ke dalam akaun peguam syarie yang mewakili Rozana sebagaimana yang ditawarkan oleh Awie mengikut afidavit jawapan yang difailkan pada 17 Mei lalu.

Rozana yang juga adik kepada pelakon Haliza Misbun diwakili peguam syarie, Mohd. Nor Apandi Dahari manakala Awie diwakili peguam syarie, Mohd. Syafiq Norizan.

Pasangan tersebut tidak hadir berikutan berlakunya kesilapan tarikh apabila mereka menjangkakan bahawa tarikh sebutan hari ini hanyalah untuk responden memfailkan afidavit jawapan mereka.

Rozana yang memfailkan permohonan nafkah sementara terhadap dua anak mereka pada 21 Oktober tahun lalu menuntut Awie membayar wang nafkah bulanan, perayaan, tempat tinggal, persekolahan dan kos pembantu rumah.

Awie dalam tawaran balasnya menyatakan kesanggupan untuk membayar nafkah bulanan sementara sebanyak RM1,500 bagi kedua-dua anak itu manakala kos perayaan, persekolahan dan pembelian pakaian akan ditanggung sepenuhnya oleh Awie dengan cara membawa mereka keluar untuk membeli kelengkapan tersebut. -Utusan


Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082