Seorang lelaki warga Nigeria dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan menipu dua wanita yang dikenali melalui laman sosial Facebook membabitkan kerugian RM10,500, Ogos lalu.
Collin Sparklys Obianke, 33, mengaku tidak bersalah menipu S. Vanitha, 31, bahawa dia dapat membekalkan barangan seperti telefon bimbit, tiga pasang kasut dan tiga utas rantai sehingga mendorong wanita itu memasukkan wang RM7,500 ke akaun Maybank milik Mislia Jumaat.
Perbuatan itu didakwa dilakukannya di Maybank UEP Subang Jaya di sini antara pukul 1.34 petang 24 Ogos lalu dan 9.19 pagi keesokannya.
Lelaki itu turut mengaku tidak bersalah menipu Foo Pooi Yun, 38, menggunakan modus operandi sama sehingga mendorong wanita itu menyerahkan RM3,000 di kawasan Bukit Puchong di sini pada pukul 3.41 petang, 14 September lalu.
Kedua-dua pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat serta denda. – UM