BALING – Seorang wanita terkejut apabila mendapati mayat bayi yang ditanam di belakang rumahnya di Ladang Pelam, Malau dekat sini merupakan cucunya sendiri yang baru dilahirkan pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Shariffudin Yusof berkata, wanita yang berusia 45 tahun itu pada awalnya melihat kesan tanah yang baru digali ketika melalui belakang rumahnya pada pukul 3 petang kelmarin.
Bagaimanapun katanya, selepas tanah tersebut digali semula ditemui mayat bayi berkenaan juga merupakan cucunya yang dilahirkan anak perempuannya berusia 19 tahun tanpa pengetahuannya.
“Mayat bayi perempuan itu ditemui tertanam lebih kurang 30 sentimeter panjang dan 30 sentimeter lebar sebelum keluarga berkenaan membuat laporan di Balai Polis Malau,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, remaja itu telah ditahan untuk siasatan selepas mengaku bayi yang ditemui bayinya.
“Remaja berkenaan mengaku dia mengandungkan bayi berkenaan hasil hubungan sulitnya dengan seorang lelaki Indonesia bernama Ajib yang dikenalinya sejak setahun lalu,” kata Shariffudin.
Katanya, sepanjang remaja itu mengandung, dia juga berjaya menyembunyikan kehamilannya daripada diketahui sesiapapun.
“Hasil soal siasat terhadap remaja itu, dia mengakui melahirkan bayi berkenaan pada 21 Mei (Sabtu) lalu pada sebelah malam tetapi tidak pasti pukul berapa di dalam biliknya.
“Katanya, remaja itu hanya sempat mendengar bayinya menangis sekali sahaja sebelum pengsan,” katanya lagi.
Beliau menambah, pada keesokannya, selepas tersedar, suspek mendapati bayinya itu sudah tidak bernyawa dan merasa takut lalu menanamnya di belakang rumah dipercayai menggunakan sebatang cangkul untuk menanam mayat bayi tersebut.
Kata Shariffudin, suspek kini berada di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani dan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE