TANJUNG MALIM: Seorang lelaki dipercayai terbabit dalam beberapa kes ragut sekitar daerah ini, ditahan polis dalam serbuan di Gedangsa, Selangor, tengah hari tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Gan Tian Kee berkata, tangkapan lelaki berusia 39 tahun itu adalah susulan kes ragut membabitkan seorang jururawat wanita Hospital Slim River pada 19 Mei lalu.
Katanya, tangkapan dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Muallim kira-kira jam 12.30 tengah hari selepas membuat intipan ke atas suspek.
“Sepasukan polis membuat intipan di Klinik Kampung Selisik, Gedangsa, Selangor, sebelum lelaki yang dikehendaki polis itu tiba menaiki motosikal.
“Suspek memasuki kawasan klinik dan pasukan polis yang memperkenalkan diri terus membuat tangkapan,” katanya di sini, hari ini. Tian Kee berkata, berlaku pergelutan ketika lelaki itu cuba ditahan tetapi tiada kecederaan dilaporkan.
Dalam kejadian 9 malam 19 Mei lalu, Rohana Ayob, 37, cedera di muka dan beberapa anggota badan serta tidak sedarkan diri selepas terjatuh ketika mengejar suspek yang meragutnya. -BHOnline