KUALA LUMPUR: Sembilan ulat parkir termasuk seorang warga Bangladesh ditangkap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam operasi khas banteras urat parkir selama dua hari berturut-turut di Selangor dan ibu negara, bermula semalam.
Operasi khas itu yang bermula jam 7 malam hingga jam 7 pagi dilakukan di sekitar Uptown Seksyen 24 Shah Alam, dan empat lokasi di ibu negara membabitkan Lorong Raja Uda, Kampung Baru; Jalan Medan Tunku; Jalan Dewan Sultan Sulaiman 1 dan Jalan 1/6B, Ampang.
Pengarah Penguatkuasa JPJ Malaysia, Datuk V Valluvan, berkata daripada sembilan yang ditahan, empat daripadanya ditahan di Shah Alam dan selebihnya ditahan dalam operasi di ibu negara.
“Semua yang ditahan berusia antara 23 hingga 53 tahun dan tiga daripadanya didapati positif dadah.
“Kita jalankan risikan selama tiga hari bagi mengenal pasti suspek dan lokasi mereka beroperasi sebelum operasi dijalankan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JPJ Kuala Lumpur di sini, sebentar tadi.
Katanya, pihak JPJ akan memperluaskan operasi membanteras ulat parkir ke seluruh negara bagi mengekang aktiviti itu daripada terus berleluasa.
“Kita banyak menerima aduan daripada orang ramai berhubung kegiatan ulat parkir yang dilihat mengambil kesempatan mengenakan caj parkir yang tinggi antara RM5 hingga RM15.
“Perkara ini tidak wajar berlaku, justeru kita akan memperhebatkan lagi operasi selepas ini dengan kerjasama pihak berkuasa lain termasuk polis,” katanya.
Semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 50 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan sekiranya didapati bersalah boleh dikenakan denda RM3,000 atau tiga bulan penjara atau kedua-duanya sekali. -BHOnline