Quantcast
Channel: Jenayah & Mahkamah – TV14
Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082

Polis Tahan Tiga Ahli Geng Samun “Naim Wira”

$
0
0

samun_1

KUALA LUMPUR: Polis berjaya menahan tiga lelaki dipercayai anggota ‘Geng Naim Wira’ yang aktif melakukan kegiatan samun bersenjata di sekitar Ampang di sini sejak tiga bulan lepas. 

Kesemua mereka berusia antara 27 hingga 34 tahun itu ditahan awal pagi semalam selepas menyamun seorang wanita berusia 22 tahun di sebuah hotel di Pandan Indah di sini. 

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Hamzah Alias, penahanan ketiga-tiga suspek dilakukan di sekitar Ampang pada pukul 3 pagi selepas kenderaan dinaiki suspek berjaya dikesan oleh anggota polis yang melakukan rondaan.

“Terdahulu, pada pukul 1.50 pagi, dua daripada tiga suspek bersenjatakan pisau pemotong daging telah merompak wang tunai sebanyak RM400 di kaunter hotel berkenaan.

“Selain itu, suspek turut mengambil wang tunai milik mangsa kira-kira RM120, telefon bimbit jenis Lenovo dan kad ATM,” katanya.

Tambahnya melalui satu kenyataan memberitahu, pemeriksaan ke atas kenderaan dinaiki suspek membawa kepada penemuan sebilah pisau pemotong daging, wang tunai hasil rompakan dan beberapa barang lain.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kumpulan ini aktif menjalankan kegiatan samun di sekitar Ampang sejak Oktober tahun ini. 

“Kita percaya melalui tangkapan ini polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya lima kes samun bersenjata di sekitar daerah ini,” katanya.

Keputusan saringan ujian air kencing ke atas semua suspek juga mendapati mereka positif dadah jenis amphetamine.

Hamzah berkata suspek direman selama tujuh hari sehingga 5 Jan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082