Dua suspek wanita iaitu pengasuh warga Indonesia ditahan polis bagi membantu siasatan kes seorang bayi tidak sedarkan diri dipercayai didera di rumah mereka di sebuah ladang kepala sawit, Niah di sini semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Senior Asisten Komisioner S. Dev Kumar berkata, tangkapan tersebut dilakukan oleh sepasukan anggota JSJ Miri ke atas dua pengasuh yang menjaga bayi perempuan berusia tujuh bulan berkenaan.
Katanya, kedua-dua suspek berusia 44 tahun direman selama empat hari bermula semalam.
“Kejadian ini berlaku pada Isnin lalu apabila pasangan suami isteri warga Indonesia yang bekerja sebagai pengutip kelapa sawit di ladang itu meninggalkan bayi mereka ketika keluar bekerja.
“Bagaimanapun, ketika mahu mendapatkan semula anak mereka pada pukul 2 petang, didapati bayi itu dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya di sini hari ini.
Difahamkan, pemeriksaan awal mendapati bayi itu mengalami kecederaan di kepala dan belakang badan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, majikan mereka kemudian membawa bayi itu untuk dirawat di hospital pada pukul 11 malam.
“Bayi perempuan itu yang dalam keadaan tidak sedarkan diri dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Nyabau, Bintulu.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 3(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” jelasnya. -Utusan