Johor Bahru: Mahkamah Majistret, di sini, semalam, menetapkan tempoh tahanan reman terhadap pengguna laman sosial Facebook (FB) atas nama Aiden Chew selama empat hari sehingga Rabu ini.
Suspek lelaki berusia 23 tahun yang disyaki menghantar mesej berbentuk jelik di FB bertujuan menghina dan menyakitkan hati Tunku Mahkota Johor (TMJ), tiba di mahkamah kira-kira 3 petang dengan berpakaian lokap berwarna jingga.
Penolong Pendaftar Norhidayah Ab Manaf menetapkan tempoh reman itu selepas membenarkan permohonan pegawai penyiasat dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
Tahanan reman dibuat bagi membolehkan pihak polis melengkapkan siasatan terhadap suspek yang juga seorang pembantu chef di sebuah lapangan terbang yang disyaki melakukan perbuatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.
Kelmarin, Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd, menerusi satu kenyataan media memaklumkan suspek ditahan kira-kira 8 malam kelmarin di Taman Intan, Dengkil, Selangor dan polis turut merampas satu telefon bimbit dan kad sim.
“Suspek ditahan susulan laporan polis dibuat pada jam 10.15 pagi tadi (kelmarin) yang mendakwa terdapat pengguna FB yang memuat naik penghantaran mesej berbentuk jelik dalam akaun FB atas nama Aiden Chew,” katanya. -myMetro