KAJANG – Seorang lelaki maut apabila kereta yang dinaikinya bertembung dengan sebuah lori dalam kejadian di Kilometer 31 Jalan Kuala Lumpur-Seremban arah Semenyih di sini petang semalam.
Dalam kejadian pada pukul 4.30 petang itu, mangsa, Wong Tong Kee, 48, maut di lokasi kejadian kerana mengalami kecederaan parah pada bahagian dada dan kepala.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan berkata, lokasi kejadian merupakan selekoh dan bergarisan putih berkembar.
“Ketika kejadian, pemandu lori itu mahu membelok ke kanan jalan di atas garisan berkembar sebelum bertembung dengan kereta dipandu mangsa yang datang dari arah bertentangan.
“Mangsa kemudiannya diseret sejauh enam meter disebabkan pertembungan itu,” katanya ketika dihubungi di sini.
Othman berkata, kawasan kemalangan tidak mempunyai rakaman televisyen litar tertutup dan semasa kejadian, keadaan jalan baik dan kering.
“Kita masih mengesan saksi awam dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat manakala pemandu lori itu pula dihantar ke Hospital Kajang untuk menerima rawatan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -Kosmo