KUALA LUMPUR: Pengarah syarikat, Datuk Abdul Malek Yusof dan dua individu lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini, atas pertuduhan menerbitkan dan menawarkan 6.9 juta unit saham syarikat, lima tahun lalu.
Datuk Abdul Malek Yusof, 43, dan Noor Aida Abdullah, 43, yang juga sebagai bekas pengarah syarikat mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersubahat dengan Astana Resource Bhd apabila masing-masing menerbitkan 4,887,650 dan 6,951,921 juta unit saham syarikat tanpa suatu prospektus yang didaftarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Seorang lagi tertuduh yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat, Raja Samsul Bahri Raja Muhammad, 48, mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersubahat dengan Astana Resource apabila ia menawarkan 6,951,921 juta unit saham syarikat tanpa suatu prospektus yang telah didaftarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Semua kesalahan itu dilakukan di Astana Resource yang dahulunya dikenali sebagai JPG Holdings Berhad, di 2-2, Tingkat 1, Jalan USJ 21/3, Subang Jaya, di sini, antara 30 April 2010 dan 19 November 2012.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 370 (c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dibaca bersama Seksyen 232(1) Akta sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 232(7) akta sama, jika sabit kesalahan boleh dihukum denda maksimum RM10 juta dan penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh yang diwakili peguam bela Shahkir Hussein didakwa di mahkamah berasingan. Mahkamah menetapkan 18 Julai untuk sebutan semula kes.