JERTIH: Seorang lelaki rentung apabila kereta yang dipandunya terbakar selepas terbabit kemalangan di Kampung Jabi, dekat sini, awal pagi ini.
Identiti mangsa belum dikenal pasti kerana semua dokumen turut musnah dalam kebakaran itu.
Dalam kejadian itu jam 4.30 pagi, kenderaan berkenaan dari arah Kuala Terengganu menghala ke Jertih dipercayai terbabas dan melanggar kepala jambatan sebelum terbakar.
Penolong Penguasa Bomba dan Penyelamat Jertih, Mustafa Ismail, berkata sebuah jentera bersama lima anggota dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 4.57 pagi.
Katanya, setiba di tempat kejadian, kereta berkenaan didapati sudah terbakar sepenuhnya.
“Kami terpaksa menggunakan gergaji elektrik untuk mengeluarkan mayat mangsa yang rentung dalam kenderaan terbabit,” katanya sambil menambah punca kebakaran masih dalam siasatan.