HULU TERENGGANU – Seorang maut manakala lima yang lain termasuk seorang kanak-kanak berusia 3 tahun cedera parah dalam satu kemalangan membabitkan sebuah kereta dan sebuah treler di Kilometer 392.5 Lebuhraya Pantai Timur II, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, mangsa yang meninggal dunia ialah suami kepada pemandu Perodua Alza, Cik Saudariah Ismail,61, iaitu Bakar Mat Amin,64, beralamat di Kampung Laut, Kuala Terengganu.
Sementara, lima yang cedera parah termasuk Cik Saudariah ialah Rosliza Bakar, 36,(anak); Kamarulzaman Jaafar, 35,(menantu, suami Rosliza) serta dua cucunya yang juga anak Rosliza iaitu Mohd Kasifilah Rahimi,9, serta Mohd Khairi Rafikin,3.
Difahamkan, mangsa sekeluarga dalam perjalanan dari arah Bukit Besi menghala ke Ajil dan kejadian dipercayai berlaku setelah kenderaan dipandu Cik Saudariah merempuh belakang sebuah treler berisi muatan simen yang sedang bergerak.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, PBK II Mohd Nor Ali berkata pihaknya menerima panggilan jam 12.42 tengahmalam dan bergegas ke lokasi kejadian menaiki sebuah jentera dengan kekuatan enam anggota.
Menurut Mohd Nor, pihaknya tiba di tempat kejadian jam 1.11 pagi dan mendapati tujuh mangsa terlibat dalam kemalangan berkenaan termasuk pemandu treler yang merupakan seorang lelaki dewasa.
“Dua mangsa iaitu pemandu dan penumpang belakang (Bakar) Perodua Alza tersepit, manakala empat yang lain telahpun dikeluarkan orang awam sebelum ketibaan pihak bomba. Kesemua mangsa di hantar ke Hospital Hulu Terengganu, pemandu treler tidak cedera,” katanya.